Hisyam bin Ahmad
Quick Facts
Biography
Hisyam bin Ahmad@Ahmadiah yang lebih dikenali sebagai Hisyam atau Syam telah dilahirkan pada (1980-02-01) 1 Februari 1980 di Keramat, Kuala Lumpur dan merupakan salah seorang penyanyi nasyid yang popular di Malaysia. Beliau juga merupakan salah seorang anggota kumpulan In-Team (2000-2002, 2015-kini) yang dahulunya pernah bernaung di bawah pengurusan Hijjaz Records Sdn. Bhd. Beliau juga mempunyai latar belakang pendidikan agama yang tinggi sejak dari sekolah rendah lagi.
Pada tahun 2002, beliau meninggalkan kumpulan ini kerana ingin menyambung pengajian dan tempat beliau telah digantikan oleh Abdul Rahim. Walau bagaimanapun, beliau masih mengekalkan hubungan baik dengan anggota In-Team pada waktu itu.
Pada bulan Ogos 2003, beliau telah dipelawa oleh syarikat rakaman NAR Records Sdn. Bhd. untuk merakamkan album solo. Namun begitu, beliau tidak yakin untuk bergerak solo lantas membuat ujibakat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Hasil ujibakat tersebut, beliau berjaya mencari bakat baru dengan penyertaan tiga ahli iaitu Azrul, Warie dan Zul. kemudian, beliau bersama tiga ahli tersebut telah menubuhkan kumpulan nasyid yang sekali lagi mencetuskan fenomena iaitu kumpulan DeHearty, seiring dengan kumpulan nasyid yang popular pada waktu itu. Antara lagu hits beliau ketika bersama DeHearty ialah Inspirasi Hati, Di Hati, Abu Bakar as-Siddiq, Wanita & Permata Yang Dicari. Namun begitu, kumpulan DeHearty telahpun berpecah sekitar tahun 2007 atas sebab-sebab tertentu.
Kemudian, beliau telah diundang oleh kumpulan In-Team (kini Inteam) untuk membuat penampilan semula dalam album Nur Insani yang diterbitkan pada tahun 2007. Dua tahun selepas penerbitan album Nur Insani, beliau bersama Suhaimi Saad (bekas anggota In-Team) telah diundang juga oleh kumpulan Inteam untuk bersama-sama merakamkan album yang berjudul Allahu Rabbi di mana album tersebut merupakan projek reunited pertama mereka sepanjang mereka bergiat aktif dalam industri nasyid tanah air. Pada tahun 2013, beliau sekali lagi terlibat dalam projek reunited yang kedua dengan album berjudul Iman & Aman oleh Inteam, juga sebagai undangan istimewa bersama Suhaimi.
Disebabkan beliau sering membuat persembahan nasyid bersama kumpulan Inteam, akhirnya pada 21 Mei 2015, secara rasminya beliau telah kembali menganggotai Inteam bersama Syah, Amin dan Abdul Rahim. Kembalinya beliau ke pangkuan Inteam menjadikan kumpulan tersebut kini berjumlah 4 orang.
Beliau telahpun mendirikan rumahtangga dengan pilihan hatinya dan dikurniakan tiga orang cahaya mata, seorang lelaki dan dua orang perempuan. Selain menyanyi, Hisyam juga bekerja sebagai salah seorang eksekutif di syarikat FELDA.
Pendidikan
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Lembah Keramat, Kuala Lumpur pada tahun 1987, sebelum memasuki Madrasah Darul Falah, Melaka (1988-1990). Selepas itu, dia menyambung pengajian ke peringkat menengah di Sekolah Menengah Rendah Agama Az-Zafirah (1991-1992).
Kemudian, beliau memasuki Sekolah Menengah Agama (Arab) Ar-Rahmah Kenali (1996-1997) dan melanjutkan pengajannya ke peringkat universiti di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam jurusan pengajian Ilmu Wahyu.
Album Hisyam
Antara album yang melibatkan Hisyam dalam industri nasyid tanah air :-
- Kasih Kekasih (In-Team) - Hijjaz Records/NAR - 2000
- Impian Kasih (In-Team) - Hijjaz Records/NAR - 2001
- Di Hati (DeHearty) - NAR Records - 2004
- Insan Istimewa (DeHearty) - NAR Records - 2005
- Nur Insani (Inteam) - Inteam Records - 2007
- Allahu Rabbi (Inteam) - Inteam Records - 2009
- Nur Muhammad (Inteam & UNIC) - Inteam Records - 2011
- Iman & Aman (Inteam) - Inteam Records - 2013