Abdul Rahman Mohd Yassin
Quick Facts
Biography
Dato' Abdul Rahman Mohd Yassin merupakan anak watan negeri Johor iaitu berasal dari Parit Bakar, Muar, Johor. Beliau adalah Yang Dipertua Dewan Negara yang pertama.
Keluarga
Berkahwin dengan Zaharah Abu Bakar dan dikurniakan 8 orang cahaya mata. Anak sulungnya, Dato' Sulaiman Abdul Rahman pernah menjadi ahli parlimen bagi kawasan Muar Selatan, Parlimen Malaysia pertama. Anak keduanya, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman pernah menjadi ahli parlimen bagi kawasan Johor Timor serta Timbalan Perdana Menteri Malaysia ke-2. Menantu lelakinya, Tun Dr. Awang Hassan (suami kepada Khadijah Abdul Rahman) juga pernah menjadi ahli parlimen bagi kerusi Muar Selatan ekoran kematian penyandangnya, Dato' Sulaiman Abdul Rahman pada 28 Disember 1963.
Kerjaya
Beliau pernah menjadi kerani, Pesuruhjaya Daerah, Majistret dan Bendahari Negeri Johor. Selain daripada itu menjadi Yang di-Pertua Dewan Negara yang pertama. Dato’ Abdul Rahman menubuhkan Persatuan Melayu Johor menentang Malayan Union pada 1946 iaitu selepas Perang Dunia II. Sebagai ketua Orang Tujuh , menuntut Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar meletak jawatan sebagai Sultan Johor kerana menandatangani persetujuan penubuhan Malayan Union 1946 yang bertentangan dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.
Keturunan Orangkaya Muar dan Batu Pahat
Parit Bakar dahulunya dikenali sebagai Padang Muar sebelum Bandar Maharani dibuka pada tahun 1884. Padang Muar pernah diperintah oleh Dato' Mohd Yassin Abdul Rahman (ayahnya) anak kepada Orangkaya Dato' Abdul Rahman Ismail, Orangkaya Setia Minyak Beku III. Keluarga Abdul Rahman berasal dari keturunan Raja Melayu Bugis Champa yang terkenal di Padang Muar sejak dari Kesultanan Melayu Melaka. Ekonomi keluarga bergantung kepada perkebunan dan perdagangan dan sangat mengutamakan pelajaran.
Datuk nenek moyang Abdul Rahman di Padang dan di Batu Pahat adalah pembesar daerah atas pelantikan Sultan Johor. Dato' Abdul Rahman di Batu Pahat juga bernama Abdul Rahman Ismail bergelar Orangkaya Setia Minyak Beku III, Batu Pahat (1862-1881). Orangkaya Ismail bin Orangkaya Ahmad bergelar Orangkaya Setia Minyak Beku II (1855-1862). Ahmad bin Daing Abdul Rahman pulamenjadi Orangkaya Setia Minyak Beku I (1811-1855). Daing Ahmad keturunan Daing Indera Perma Paso dari Sulawesi. Daing Abdul Rahman mengetuai masyarakat Melayu Bugis dan orang-orang Selat atau Seletar di Minyak Beku setelah melumpuhkan kegiatan lanun di perairan Batu Pahat. Mulanya patuh kepada Sultan Melaka kemudian kepada Sultan Johor Pahang dan terakhir kepada Temenggong Johor yang menjadi Sultan Johor pada tahun 1885. Pusat pemerintahan keturunan mereka Bukit Makmur atau Bukit Mor, Muar hasil persetujuan Sultan Melaka. Keluarga keturunan Bugis ini turun-temurun memerintah kawasan bernama Padang dan sekitarnya.