Biography
Lists
Also Viewed
Quick Facts
Genres: | Pop music |
Birth | 24 November 1968 |
Age | 56 years |
Star sign | Sagittarius |
Biography
Wan Aminuddin bin Wan Ismail yang lebih dikenali sebagai Ameng Spring (lahir 24 November 1968) merupakan satu nama yang tidak asing lagi dalam industri muzik tanah air. Beliau yang berasal dari Besut, Terengganu memulakan kariernya bersama Kumpulan Spring sebagai vokalis dan telah berkecimpung di dalam bidang nyanyian lebih daripada tiga puluh tahun. Memiliki personaliti yang menarik serta suara yang cukup lunak, Ameng seringkali mendapat perhatian daripada para media serta peminat-peminat beliau.
Karier Bersama Kumpulan Spring
Walaupun Spring ditubuhkan pada tahun 1987, Ameng hanya mula menganggotai kumpulan ini pada tahun 1990 menggantikan vokalis asal, Amat yang menarik diri sebelum album pertama yang berjudul Spring mula dirakamkan. Pada ketika itu, Spring masih membawa genre rock kapak dan tampil berambut panjang melepasi paras leher.
Album pertama Spring yang dikeluarkan pada tahun 1991 telah mencatatkan jualan yang kurang memberangsangkan memandangkan mereka masih baru dalam industri. Namun, ia tidak mematahkan semangat beliau dan anggota Spring yang lain, sebaliknya mereka telah diberi peluang kedua oleh Sony Music untuk menghasilkan album kedua pada tahun 1992. Berbekalkan lagu Sampai Hati yang juga judul album kedua Spring, nasib Ameng dan anggota Spring yang lain berubah sekelip mata apabila lagu ciptaan M. Nasir & lirik ditulis oleh Juwie mendapat sambutan yang menggalakkan seterusnya album tersebut mencatatkan jualan yang membanggakan. Bukan itu sahaja, lagu tersebut juga layak ke peringkat akhir Juara Lagu '93 & Pujaan 10 Nescafe. Sejak itu, populariti Spring meningkat secara mendadak sekaligus menjadikan Spring sebagai kumpulan rock yang terkenal, sebaris dengan kumpulan rock yang lain seperti Search, Wings, Mega, Iklim dan lain-lain.
Beliau dan rakan-rakannya seperti mendapat motivasi dengan kejayaan lagu tersebut dan mereka terus mengorak langkah dengan menghasilkan beberapa buah album selepas itu seperti Bourgenvilla (1994), Jujur (1995), Pujaan Gemilang (1995), Spring 5 (1996), Luahan (1997) dan banyak lagi. Ternyata album yang dihasilkan juga meletup di pasaran dengan lagu-lagu hits seperti Bourgenvilla, Butakah Cinta, Sepi Tanpa Cinta, Sejujur Mana Kata-Kata, Persada Cintaku, Romantis, Kita Ditakdirkan Jatuh Cinta, Kerana Budi Ku Jatuh Hati & Pesanan Buat Kekasih. Lagu-lagu ini sedikit sebanyak telah meletakkan Spring sebagai kumpulan rock yang masih utuh pada penghujung 90-an sedangkan kumpulan rock lain tidak lagi mampu meraih jualan yang memberangsangkan.
Selepas menghasilkan album Hati Mahu Baik pada tahun 2001, Ameng dan rakan-rakannya telah mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing berikutan komitmen dan isu yang melanda pada ketika itu.
Karier Solo
Setelah anggota Spring membawa haluan masing-masing, Ameng telah mengambil keputusan untuk bergerak secara solo, tetapi masih di bawah naungan yang sama iaitu Sony Music. Ameng telah diberi peluang untuk merakamkan album solo pertama beliau yang berjudul Langkah Semakin Jauh. Walaupun telah bergelar penyanyi solo, Ameng masih diminati ramai kerana personalitinya yang menarik dan kualiti suaranya yang masih kekal utuh tanpa sebarang cacat cela.
Langkah Semakin Jauh
Album solo pertama Ameng ini telah diberi judul Langkah Semakin Jauh, sealiran dengan sebuah lagu yang dimuatkan di dalam album ini. Lagu ini telah dicipta oleh penggubah popular iaitu Zul Mahat, manakala liriknya ditulis oleh Amran Omar. Langkah Semakin Jauh turut akan dijadikan sebagai lagu single pertama bagi album ini. Penyusunan muzik serta irama yang diketengahkan di dalam lagu ini amat menarik sekali, ia banyak mengandungi elemen-elemen serta gubahan melodi baru yang boleh dinikmati untuk lagu tersebut. Tambahan pula, lirik serta vokal Ameng yang tetap utuh serta memiliki intonasi yang menarik menjadikan lagu Langkah Semakin Jauh amat menarik sekali.
Konsep album beliau yang sulung ini adalah berkonsepkan pop kontempori. Proses rakaman serta pembikinan album ini telah memakan masa selama enam bulan. Album ini akan mula berada di pasaran pada awal bulan Mei 2003 ini. Album solo Ameng yang sulung ini merupakan titik-tolak kepada pembaharuan irama, lirik serta melodi yang beliau bawa. Ini kerana setelah hampir sedekad beliau menyampaikan lagu-lagu berirama pop yang jiwang, kali ini album solo beliau menampilkan kepelbagaian irama seperti irama Arab, Latin , Parsi dan banyak lagi. Akan tetapi irama pop asli tidak ditinggalkan, malah kesemua lagu-lagu di dalam album ini telah digubah dengan begitu baik sekali. Terdapat banyak irama serta melodi baru yang boleh dinikmati. Jelas sekali album ini memiliki keistimewaannya yang tersendiri.
Di dalam album ini, Ameng turut menyumbangkan sebuah lagu hasil ciptaannya yang berjudul Salam Air Mata, manakala liriknya ditulis oleh Juwie. Lagu ini amat bermakna bagi Ameng kerana ia merupakan salah satu kisah hidup beliau yang pernah beliau lalui. Penulis-penulis lirik yang terlibat di dalam album ini tidak kurang hebatnya. Antara penyumbang lirik untuk album Langkah Semakin Jauh ini ialah Juwie, Hairul Anuar Harun, Amran Omar, S. Amin Shahab, Loloq (Rosli Khamis), Rasdey & Mat Joe.
Walaupun baru pertama kali Ameng merakamkan album secara solo, namun beliau tidak merasakan kesukaran atau kekok bekerjasama dengan penggubah-penggubah yang terbabit. Ini kerana Ameng yang telah berkecimpung di dalam dunia nyanyian telah biasa bekerjasama dengan mereka sejak bersama Spring lagi.
Keluarga
Ameng pernah mendirikan rumahtangga dengan dramatis & penerbit terkenal, Zaidah Awang atau dikenali dengan nama A. Aida pada tahun 1993. Hasil perkahwinan tersebut, Ameng dan A. Aida dikurniakan dua orang anak perempuan bernama Wan Az Aleesa dan Wan Az Evanatassha. Malangnya, perkahwinan mereka tidak kekal lama apabila bercerai 10 tahun kemudian. Mereka pernah bercerai dan rujuk sekali pada tahun 2001 sebelum kembali bercerai pada tahun 2004.
Ameng kemudiannya berkahwin buat kali kedua dengan pilihan hatinya, Sabariah Zakariah yang kini merupakan pengurusnya. Ameng dan Sabariah dikurniakan seorang anak lelaki bernama Wan Ammar Haikal dan perkahwinan mereka bertahan sehingga kini.
Diskografi
Album
- Langkah Semakin Jauh - Ameng (Sony, 2003)
- KESALANKU - AMENG ( BERSAMA RED PEANUT BAND BANDUNG, 2010 AKHIR )
Lagu-lagu
- Ya Habib Umairah
- Langkah Semakin Jauh
- Cinta Pandang Pertama
- Min Aina Ilaa Aina
- Bersanding Di Awan
- Malam Cinta
- Siapalah Aku
- Edan Warna Jingga
- Embun Pagi
- Salam Air Mata
KARIER SOLO AMENG ( SPRING )
- FILEM
- ISKANDAR Arahan V.Nagaraj
sebagai Mail Komando
- SINGLE SINGLE SOLO AMENG
- LANGKAH SEMAKIN JAUH ( ZUL MAHAT / AMRAN OMAR )
- PUISI SANG ARJUNA ( SAARI AMRI )
- KASIH YANG TAK PASTI ( Feat Ameng / SPRING & Opie / PANJI ) - ( Petikan Dari Album KUMPULAN PANJI )
- YA HABIBI UMAIRAH ( AMRAN OMAR )
- SALAM AIR MATA ( AMENG / JUWIE )
- KESALAN KU ( M.NASIR )
- SUDIKAH JADI KEKASIHKU ( EDDIE HAMID )
- SRTANGKAI KEMBANG MELATI ( AMENG & SULIZA SALAM )
- ANTARA CINTA DAN RINDU ( AMENG )
- Buku
Ameng Spring- Epilog Tirai Keinsafan [1]