Talib Karim
Quick Facts
Biography
Allahyarham Dato Haji Talib Bin Karim menjadi Ketua Menteri Melaka yang ketiga iaitu dari 6 Oktober 1967 hingga 31 Julai 1972 . Beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Alor Gajah dan Speaker DUN Melaka. Beliau merupakan anak jati negeri Melaka yang pertama dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka kerana sebelum beliau ialah Tan Sri Dato' Osman Talib berasal dari Perak dan Ghafar Baba pula walaupun dibesarkan di Melaka, berasal dari Negeri Sembilan.
Dato Haji Talib Bin Karim dilahirkan pada 12 Disember 1909 di Kampung Baru, Alor Gajah, Melaka. Beliau merupakan anak sulung daripada empat orang adik beradik. Semasa kecil beliau dipelihara oleh datuk dan neneknya.
Setelah datuk dan neneknya meninggal dunia, beliau dipelihara semula oleh ayah dan ibunya yang berada di Betawi / Jakarta, Indonesia. Di sana, beliau sering mengikuti syarahan pejuang kemerdekaan Indonesia seperti Sukarno, Sjahrir dan Omar Said Tjokroaminoto. Pengalaman inilah yang telah mendedahkan Dato Haji Talib Bin Karim kepada perkembangan politik semasa.
Dari Betawi dia berhijrah ke Medan dan berkahwin pada tahun 1936. Pada tahun 1939, beliau kembali ke Tanah Melayu.
Sekembalinya beliau ke Kampung Baru, Alor Gajah, beliau terus aktif dalam bidang politik. Beliau aktif dalam gerakan menentang Malayan Union . Beliau dilantik menjadi Ketua Menteri Melaka yang ketiga pada tahun 1967 hingga tahun 1972.
Pendidikan
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Alor Gajah, kemudian melanjutkan pelajarannya ke High School, Melaka pada tahun 1930.
Anugerah
Sebagai menghargai jasa-jasa beliau Dato Haji Talib Bin Karim dianugerahkan pingat OKSJ dan JP. Nama beliau juga diabadikan pada Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Haji Talib Karim pada 1969. Nama lama sekolah ini ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Gajah.
Beliau berkahwin dengan Datin Hajah Norkiah bte Hashim pada tahun 1936 di Medan, Sumatera Barat, Indonesia dan dikurniakan 5 orang cahaya mata perempuan.
Rujukan
Penyandang Terdahulu | Ketua Menteri Melaka 6 Oktober 1967 – 31 Julai 1972 | Penyandang Kemudian |
Abdul Ghafar bin Baba | Abdul Ghani Ali |