Sultan Zainal Abidin I
Quick Facts
Biography
Sultan Zainal Abiddin Shah I Ibni Almarhum Tun Habbib Abdul Majid adalah pengasas Kesultanan Terengganu. Baginda memerintah Terengganu dari 1725 hingga 1733.
Latar Belakang
Baginda diputerakan pada tahun 1677/78 di Johor kepada Bendahara Sri Maharaja Pikrama Tun Habib Abdul Majid, Bendahara Padang Saujana iaitu Bendahara Johor ke-18 pada zaman pemerintahan Sultan Ibrahim Shah dan sebahagian daripada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah II. Baginda diambil sebagai putera angkat oleh Paduka Raja Laksamana Tun Abdul Jamil atau disebut Wan Deraman dalam sumber tempatan Terengganu dan Pahang. Pada tahun 1688, semasa berusia lebih kurang 10 tahun, baginda berangkat ke Patani bersama keluarga Paduka Raja Laksamana yang diusir oleh para pembesar Johor. Pengusiran ini dikatakan berpunca dari dakwaan bahawa Tun Abdul Jamil cuba merampas takhta kerajaan daripada Sultan Mahmud Shah II yang masih kecil. Tun Abdul Jamil telah berjaya dibunuh oleh sekutu pembesar Johor di Teluk Datuk yang terletak berhampiran Kuala Terengganu. Walaubagaimanapun, Tun Zainal Abidin telah bejaya melepaskan diri bersama keluarga Tun Abdul Jamil dan berjaya tiba di Patani. Baginda telah dijadikan putera angkat oleh Raja Kuning, iaitu Raja Petani yang dikenali juga sebagai Nang Chayam atau Raja Mas Jayam..
Pertabalan
Pada masa Sultan Abdul Jalil IV menaiki takhta kerajaan Johor, Tun Zainal Abidin telah dijemput balik ke Johor. Semasa di Johor, baginda telah dikurniakan negeri Terengganu. Baginda kemudiannya telah pulang semula ke Patani. Nang Chayam seterusnya menghantar Tun Zainal Abidin ke Terengganu dengan diiringi 80 orang Patani bersama kelengkapan pertabalan diraja, termasuk keris panjang yang disebut Keris Panjang Nang Chayam yang masih digunakan sehingga ke hari ini, dan berapa orang ulama. Pertabalan Baginda sebagai Sultan Terengganu telah disempurnakan oleh Qadi Wan Imam Mahmud pada tahun 1708 di Tanjung Baru yang terletak di hulu Sungai Terengganu tidak jauh daripada Kuala Berang.
Sumber buku Tuhfat al-Nafis karangan Raja Haji pula menyatakan, Tun Zainal Abidin ditabalkan sebagai Sultan Terengganu oleh Daeng Menampuk atau Raja Tua di atas perintah Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah pada tahun 1725.
Keluarga
Sultan Zainal Abidin I mempunyai beberapa orang isteri. Ketika berada di Johor, semasa pulang dari Patani, Baginda berkahwin dengan anak orang Muar dan mempunyai dua orang anak, seorang putera dan seorang puteri. Ketika di Terengganu, Baginda telah berkahwin dengan anak Sheikh Abdul Malik bin Syed Abdullah yang lebih dikenali sebagai Tok Pulau Manis. Baginda juga telah berkahwin dengan anak Dato' Wan Ismail
Semasa di Patani, Baginda telah berkahwin dengan Nang Rogayah, puteri kepada Long Bahar iaitu raja Kelantan-Patani, serta juga sepupu kepada Raja Nang ChayamNang Rogayah dijadikan Che Puan Besar Negeri Terengganu yang pertama.
Antara putera Baginda yang diketahui ialah Ku Tana Wangsa, Ku Tana Ali, Ku Tana Ismail, Ku Tana Mansor dan Ku Embong. Ku Tana Wangsa ialah puteranya dengan Che Puan Besar Nang Rogayah dan dilantik menjadi pemangku raja dengan gelaran Yang Di-Pertuan Tua Terengganu bagi adindanya yang masih kecil, Ku Tana Mansor yang menjadi Sultan dan Yang Di-Pertua Kecil Terengganu
Mangkat
Baginda meninggal dunia pada 24hb Mei 1733 dan digantikan puteranya Sultan Mansur I.Baginda dimakamkan di Bukit Keledang, Kuala Terengganu
Didahului oleh Pengasas | Sultan Terengganu 1708-1733 | Diikuti oleh: Sultan Mansur I |
Lihat juga
- Sejarah Terengganu
- Sultan Terengganu