Subarma Mokhtaruddin
Quick Facts
Biography
Subarma Mokhtaruddin, juga dikenali sebagai Subi (1965 – 13 April 2021) ialah seorang penyampai radio dan eksekutif radio Malaysia yang pernah berkhidmat di Era (1998–2004), Sinar (2004–2008) dan Suria (2008–2017).
Kerjaya radio
Kerjayanya bermula sebagai salah seorang penyampai radio Era yang ketika itu baru sahaja memulakan siaran pada 1 Ogos 1998. Beliau merupakan antara barisan penyampai terawal Era termasuk Halim Othman, Faizal Ismail, Khairil Rashid, Linda Onn, David Low, Seelan Paul, Nadira Azizan, Kudsia Kahar, Jamal Jamaluddin dan Najman Mohamed.
Pada awal 2004, beliau (bersama 3 penyampai Era lain) berhijrah ke Sinar FM yang memulakan siaran pada 1 Mac 2004, sejak itu, Subi berkhidmat untuk Sinar sehingga 2008. Selepas menamatkan kerjayanya di Sinar, beliau menyertai Suria FM pada 2008 dan pernah dilantik sebagai Pengarah Operasi pada 2010. Subi juga pernah berkhidmat sebagai perunding di sebuah stesen radio di Jakarta, Indonesia.
Pada 7 Jun 2016, beliau dilantik sebagai Pengururs Besar Rancangan Suria di mana beliau diberi tanggungjawab untuk melakukan penambahbaikan dan menyusun strategi bagi menjadikan Suria sebagai stesen radio pilhan pendengar. Beliau melepaskan jawatan di Suria pada hujung 2017. Selepas meninggalkan Suria, beliau mengendalikan radio Internet dan sistem karaoke sendiri.
Kehidupan peribadi
Beliau berkahwin dengan Aishah Saironi dan dikurniakan dua anak, Nur Adibah dan Muhammad Yusof.
Subi telah mengalami masalah hilang pendengaran sejak 2017 selain pernah terjatuh di rumah dan hilang imbangan akibat kepala terhantuk di bucu meja.
Kematian
Subi meninggal dunia pada 13 April 2021 pada usia 56 tahun di Hospital Putrajaya, Putrajaya akibat komplikasi dalam perut. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dengkil pada hari yang sama.