Rita Rudaini
Quick Facts
Biography
Rita Rudaini (dilahirkan sebagai Rita Rudaini binti Mokhtar; 11 April 1976) merupakan salah seorang pelakon wanita dan model popular di Malaysia. Dilahirkan di Kangar, Perlis, beliau membintangi banyak drama TV tempatan. Biarpun agak jarang muncul di layar perak, Rita dikenali melalui filem "Mami Jarum Junior" hingga memberikannya nominasi untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik (FFM) pada tahun 2004.
Kerjaya
Menjadi peragawati
Rita menyertai pertandingan Dewi Remaja 98/99, dan berjaya menjadi finalis. Namun beliau tewas kepada penyanyi pop Juliana Banos. Antara finalis lain pertandingan tersebut adalah Wardina Safiyya dan Julia Hana. Rita pertama kali menjadi model untuk video muzik penyanyi Rem pada 1997. Dalam video muzik Selingkar Kasih itu, Rita melakonkan watak sebagai obsesi Rem.
Pada 1999, setelah dikenali menerusi pertandingan Dewi Remaja, Rita disunting pengarah tersohor, Yasmin Ahmad untuk muncul dalam iklan komersil PEPSI. Dalam iklan tersebut, Rita melakonkan watak sebagai rakan baik kepada penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza. Turut berlakon dalam iklan tersebut ialah model Alan Yun. Nama Rita menjulang naik dalam bidang modeling lewat 1999 hingga 2006. Antara iklan komersil yang dilakonkannya adalah Maybeline, Head & Shoulders, Whiskas, Petronas, Astro Movie Package dan banyak lagi.
Sejak 2005, Rita dilantik menjadi wajah komersil produk Secret Garden. Rita berganding bersama pelakon Maya Karin, Fahrin Ahmad dan Aaron Aziz sebagai wajah kempen prabayar Celcom sejak 2008. Pada 2009, Rita menjadi salah seorang penggerak kepada promosi produk jualan langsung One Drop Perfume. Selain membantu promosi, Rita juga bergelar usahawan produk tersebut. Pada tahun 2010, Rita dan anak lelakinya Airit Rayyan telah dilantik menjadi duta produk ibu dan bayi serta wajah Rita digunakan untuk kempen Safi Rania Gold.
Bidang lakonan
Rita membina nama sebagai pelakon sejak tahun 2000. Drama pertama lakonannya adalah Dulang Wan Chu arahan Ismail Yaacob. Sejak itu Rita membintangi puluhan drama TV dan drama bersiri. Seringkali menjadi pilihan untuk memegang watak utama.
Di layar perak, Rita diperkenalkan menerusi filem Mendam Berahi, namun kutipan filem tersebut tidak memberangsangkan. Pada 2003, Rita muncul menerusi watak perempuan anak dara tua yang kepoh dalam filem Mami Jarum Junior yang melayakkan beliau tercalon untuk kategori Aktres Terbaik - Festival Filem Malaysia ke 17 bersaing bersama-sama Amy Mastura (Bintang Hati), Maya Karin (Pontianak Harum Sundal Malam), Janet Khoo (Paloh) dan tewas kepada Nasha Aziz (Trauma).
Namun pada 2003, Rita berselisih faham dengan David Teo serta syarikat pengurusan serta penerbitan filemnya Metrowealth Movies Production setelah Rita menarik diri daripada memegang watak pembantu dalam filem Cinta Kolestrol (watak itu diganti oleh aktres Aleeza Kassim). Akibatnya, kerjaya lakonan Rita di layar perak mula suram akibat campurtangan beberapa pihak yang mempersoalkan isu kontrak Rita bersama produksi tersebut. Isu itu selesai secara baik, dan kerjaya lakonan Rita mula menyinar pada 2005 setelah membintangi drama Rafflesia. David Teoh mula berhasrat untuk menyunting semula Rita untuk filem-filemnya pada 2007 setelah aktres itu kembali ke puncak populariti.
Pada 2008, Rita mencetuskan kontroversi apabila tidak menghadiri penggambaran filem Kantoi arahan Ahmad London. Perselisihan faham tersebut berakhir apabila Rita menarik diri dan digantikan oleh aktres Rozita Che Wan. Filem tersebut kini masih belum ditayangkan ekoran beberapa masalah.
Sepanjang menceburi bidang lakonan, Rita berpeluang bekerja dengan pengarah-pengarah seperti Rashid Sibir, Kabhir Bhatia, Aziz Chunk Adnan, Amie Maziah, A Razak Mohaideen, Silver Chung, dan Feroz Khan. Banyak drama-drama dan filem lakonan Rita meraih anugerah seperti drama Rafflesia, Bicara Aur dan Tebing yang dinobatkan sebagai Drama Bersiri Terbaik di Anugerah Seri Angkasa dan Anugerah Skrin. Sementara filem Cinta pula memenangi anugerah Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia.
Hero yang paling kerap digandingkan bersama Rita ialah aktor Rosyam Nor sejak drama kedua lakonan Rita iaitu Kabus & Sinar (2000) kemudian drama TV Daun Ketupat Kering (2006) serta drama bersiri kegemaran ramai seperti Biarku Sentuh Cintamu, Rozana dan Iris. Rita merupakan salah seorang heroin paling cocok buat Rosyam selain Umie Aida, Nasha Aziz & Eja.
Sejak 2009, Rita sering digandingan dengan aktor Singapura, Aaron Aziz.
Nyanyian
Pada 2001, Rita turut serta dalam rakaman runut bunyi filem Mendam Berahi. Dua buah lagu beliau yang sempat diputarkan di corong-corong radio pada 2002 adalah Kekal & Terbanglah. Bakat nyanyian Rita mendapat kritikan positif daripada wartawan hiburan. Rita pernah merakamkan album solo pada 2002 diterbitkan oleh LY dan Sham Kamikaze, namun hanya sempat menyiapkan rakaman 6 buah lagu sebelum menghadapi masalah dengan syarikat rakaman, MIG Production. Ketika masih dalam proses rakaman, Rita pernah menyuarakan hasrat untuk merakamkan lagu-lagu yang berentak 'Amy Mastura'.
Kehidupan peribadi
Rita yang aktif dalam bidang sukan ketika sekolah rendah merupakan pemegang Diploma Pentadbiran Perniagaan daripada Kolej Damansara Utama dan pernah berkhidmat sebagai pramugari MAS.
Pada 1999, ketika berusia 23 tahun Rita melangsungkan perkahwinan dengan pengulas sukan TV3, Akbar Shaari. Namun mereka bercerai pada 2001 dan disahkan mahkamah pada 2004. Ketika masih bergelar isteri kepada Akbar, Rita merahsiakan status dirinya kepada media atas alasan urusan peribadi tidak ada kena mengena dengan kerjaya seninya.
Selepas berpisah dengan Akbar, Rita dikaitkan menjalin hubungan dengan penyanyi & usahawan Dr Fazley pada 2001 dan selepas itu Rita dikhabarkan intim dengan aktor kacak Ako Mustapha. Namun hubungan mereka tidak bertahan lama. Rita kemudiannya agak panas dengan kisah cintanya bersama pemuzik Sham Kamikaze. Pasangan ini mendapat publisiti meluas daripada pihak media hinggalah mereka memutuskan hubungan pada 2003.
Rita dan aktor Hans Isaac digandingan bersama dalam drama siri Kutub Utara Kutub Selatan dan sejak itu dikhabarkan mereka menjalinkan hubungan selepas Hans putus dengan aktres Elaine Daly. Namun kedua-duanya menganggap hubungan mereka hanya kawan. Selepas agak lama tidak dikaitkan bersama, Rita dan Hans digandingan sebagai penyampai anugerah di Anugerah Skrin 2006, sebelum itu mereka pernah menjadi penyampai anugerah ABP pada 2004.
Dalam pada itu, Rita juga menjalinkan hubungan yang baik dengan aktor Zizan Nin. Zizan dianggap sebagai salah seorang daripada ahli keluarga Rita sendiri, dan seringkali meluangkan masa bersama keluarga Rita di Kg Utan Aji, Perlis. Sementara aktor Ezany Nizariff merupakan senior sekolah menengah Rita, dan kini mereka juga berkawan rapat. Antara kawan rapat aktres ini dalam industri hiburan adalah Nadia Mustafar, Catriona Ross dan juga Nasha Aziz.
Rita dikhabarkan berkawan baik dengan aktor antagonis Fauzi Nawawi, namun Rita menafikan. Desas desus mengenai hubungan mereka lenyap begitu saja apabila Fauzi mengumumkan kekasih beliau adalah aktres Lisdawati. Beliau dan Lisdawati merupakan angkatan aktres yang agak rapat pada tahun 2001-2003. Mereka bergandingan dalam filem Mistik (2003). Namun hubungan mereka tercalar pada Ogos 2006 apabila kedua-duanya berperang besar ketika melakonkan adegan babak gaduh di kolam renang untuk drama siri Kau Yang Ku Sayang arahan Rashid Sibir. Pergaduhan tersebut membawa Rita ke siasatan polis. Rita didapati tidak bersabit dengan segala dakwaan Lisdawati bahawa dirinya dicederakan dengan sengaja oleh Rita. Semenjak kejadian tersebut hubungan kedua-duanya terus dingin. Pada 2009, Lisda menggantikan Rita untuk musim kedua drama Bicara Aur & Tebing disebabkan Rita yang masih dalam pantang.
Rita kemudian mengumumkan bahawa dia sedang intim dengan pemain bolasepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak. Aidil hanya berusia 21 tahun ketika itu, sementara Rita mencecah usia 32 tahun. Setelah lama menjalinkan hubungan dan menjadi bahan panas media, pada Disember 2008 keluarga Aidil Zafuan secara tiba-tiba mengumumkan bahawa Rita dan Aidil telah menikah sejak Februari 2008 di Songkla, Thailand. Pernikahan rahsia itu tidak diketahui ahli keluarga Aidil.
Berita panas itu menyebabkan Rita dan Aidil muncul memberi penjelasan dan kemudian mengumumkan bahawa Rita sedang mengandungkan anak sulung mereka. Pada 9 Julai 2009, Rita selamat melahirkan anak lelaki bernama Airit Rayyan Rizqin . Rayyan dilahirkan di Pusat Perubatan Prince Court, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Bayi seberat 2.9kg itu sempurna dan sihat. Pada tahun 2010, Rayyan bersama sebilangan anak-anak selebriti menyertai pertandingan bayi comel yang mana dimenangi oleh anak gadis Erra Fazira, Engku Aleesya.
Rita Rudaini dan suaminya hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 6 Mei 2010 untuk mengemukakan rayuan berhubung kes nikah tanpa kebenaran. Aidil menjawab mereka bernikah di negara jiran ekoran tidak mendapat persetujuan daripada ahli keluarganya. Rita pula memberitahu, keluarga mertua tidak menyukai dirinya. Rayuan tersebut dikemukakan sebelum Hakim Syarie Mohd. Yunus Mohd Zin menjatuhkan hukuman denda RM500 atau penjara 15 hari terhadap Rita dan Aidil setelah masing-masing mengaku bersalah atas tuduhan tersebut.
Pasangan itu didakwa bernikah di luar kariah tanpa kebenaran mahkamah iaitu di Majlis Agama Islam Songkhla, Thailand kira-kira pukul 9.30 malam, 28 Februari 2008. Mereka didakwa mengikut Seksyen 40(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya. Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd. Sohibul Kahfi Hussin manakala Rita dan Aidil tidak diwakili peguam. Pada 22 April 2010, mahkamah yang sama mengesahkan pernikahan pasangan itu di negara jiran adalah sah dari hukum syarak. Menurut surat nikah dari Pejabat Agama Islam Wilayah Songkhla, Rita Rudaini dan Mohd. Aidil Zafuan dinikahkan oleh Naib Kadi Wilayah Songkhla, Chowalit Pinsuwan.
Namun pada 1 Oktober 2010, Rita mendedahkan bahawa rumahtangganya kini dilanda badai ekoran campurtangan keluarga mentua dan orang luar.Rita dikhabarkan menjadi mangsa kebencian ipar duai keluarga pemain bola itu. Dalam kenyataan akhbarnya, Rita seolah membayangkan penglibatan dramatis Ayu Raudhah dalam krisis rumahtangganya. Ayu yang bakal mengahwini adik kembar Aidil iaitu Mohd Zaquan Adha dituduh menyebarkan fitnah terhadap diri Rita.
Kemuncak daripada krisis ini, Rita mendedahkan suaminya tidak pulang ke rumah sejak Aidilfitri sebaliknya kembali tinggal di rumah mentuanya. Anak lelakinya juga pernah dibawa ke rumah mentua tanpa pengetahuan Rita sendiri. Aidil pada 9 Oktober mengeluarkan kenyataan akan memberi penerangan berhubung krisis rumahtangga mereka. Dia juga membayangkan perkahwinan mereka tidak akan bertahan lama. Krisis ini mendapat liputan meluas media massa dan ramai yang memberi komentar yang membincangkan perkahwinan tanpa restu.
Filemografi
Siri TV
Year | TV Series | Watak | Notes |
---|---|---|---|
2001 | GK3 | ||
Cik Tom Sdn Bhd | |||
Wajah | |||
Skuad Elit | |||
2003 | Kutub Utara Kutub Selatan | * replaced Nasha Aziz | |
2005 | Mentari Jingga | ||
Rafflesia - Musim Pertama | |||
Simbiosis | Slot Samarinda | ||
Biar Ku Sentuh Cintamu | Slot Samarinda | ||
2006 | Mengapa Harus Ada Cinta | ||
Syair Untuk Najihah | |||
Butakah Cinta | |||
Rafflesia - Musim Kedua | |||
Nuraisha | Slot Samarinda | ||
Janji Kekasih | |||
2007 | Datin Diaries | ||
Kau Yang Ku Sayang | |||
Bicara Aur Dengan Tebing |
| ||
Rozana | Slot Samarinda | ||
2008 | Tangisan Bulan Madu Musim Pertama | ||
Iris | Slot Samarinda | ||
2009 | Cinta Gila | ||
Rahsia Hati | |||
2010 | Noktah Erna | Slot Samarinda | |
Jangan Bunuh Matahariku Musim Pertama | |||
Pengantin Untuk Dijual | |||
2011 | Dan Bila Esok | ||
Tangisan Bulan Madu Musim Kedua | |||
Jangan Bunuh Matahariku Musim Kedua | |||
2012 | Ameera | Slot Samarinda | |
2013 | Sehangat Asmara | ||
2016 | Ahli Mesyuarat Tingkap | Zai | Slot Iris (TV3) |
Tak Beli Tak Cinta | Bibi |
Telemovie
Year | Telefilem/VCD |
---|---|
1998 | Dulang Wan Chu |
2000 | Kabus & Sinar |
Hikayat | |
2001 | Teksi |
Dalina | |
Rimba Berdarah | |
Tol Gate Girl | |
2002 | Salam Sally |
Keranamu Durian | |
2003 | Wad 04 |
2004 | Cik Tom Wanita Besi |
Tak Sangka No! | |
Neon | |
2005 | Buah Hati Mama |
Topeng | |
2006 | Kau Dihatiku |
Mama Rock | |
Daun Ketupat Kering | |
2007 | Satu Hati Dua Jiwa |
2008 | Wali |
2009 | Jalan Pintas Ke Neraka |
2010 | Tiupan Sangkakala |
Lillahitaala | |
Selamat Datang Anak-anak Suamiku | |
2011 | Mesej Terakhir |
Oh! Haram | |
2012 | Telapak Syurga |
Teratak Shamsiah | |
Di Bawah Langit Lazuardi | |
Syurga Di Mana? | |
Tersalah Cinta | |
2013 | Antara Safa Dan Marwah |
Filem
Filem | |||
---|---|---|---|
Tahun | Filem | Peranan | Nota |
2002 | Mendam Berahi
| Agen Sara Watak Utama
| |
Mami Jarum
| Kak Rita Watak Utama |
| |
2003 | Mistik
| Athirah Watak Utama | |
Mami Jarum Junior
| Kak Rita Watak Utama |
| |
2004 | Makar
| Nadhirah Watak Utama
| |
2006 | Cinta
| Airin Watak Utama
| |
2014 | Balistik
| Watak Utama
| |
2015 | Love, Supermoon
| Nina Watak Utama
|
Anugerah dan pencapaian
Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) | |||
---|---|---|---|
Tahun | Kategori | Keputusan | |
2003 | Pelakon Filem Wanita Popular | Dicalonkan | |
2005 | Pelakon TV/VCD Wanita Popular | Dicalonkan | |
2006 | Pelakon TV Wanita Popular | Dicalonkan | |
Pelakon Filem Wanita Popular | Dicalonkan | ||
2007 | Pelakon TV Wanita Popular | Dicalonkan | |
2008 | Pelakon TV Wanita Popular | Dicalonkan |
Festival Filem Malaysia | |||
---|---|---|---|
Tahun | Karya Tercalon | Kategori | Keputusan |
2003 (FFM 16) | Mami Jarum | Pelakon Harapan Wanita | Dicalonkan |
2004 (FFM 17) | Mami Jarum Junior | Pelakon Wanita Terbaik | Dicalonkan |
Pencapaian lain
- Finalis - Pencarian Dewi Remaja 1998/99
Rujukan
Pautan luar
- Rita Rudaini di Pangkalan Data Filem Internet (IMDb)