Nik Michael Imran
Quick Facts
Biography
Nik Michael Imran Nik Ezar (lahir 19 September 1989) ialah seorang cef, pengacara televisyen dan personaliti media Malaysia. Beliau menerima pengiktirafan meluas menerusi penyertaannya dalam rancangan MasterChef Malaysia musim pertama pada 2011.
Kehidupan awal
Nik Michael dilahirkan pada 19 September 1989 di Brisbane, Australia kepada Nik Ezar Nik Bolia dan Catherine Jane Stevens Nik. Beliau merupakan anak sulung daripada enam beradik, adiknya Nik Farouk Ezra turut berkecimpung dalam bidang masakan.
Pada awal 1991, beliau berhijrah ke Malaysia bersama bapanya yang bekerja di RHB Bank. Beliau bersekolah di Sayfol International School selama empat tahun sebelum belajar di Institut St. John sehingga tingkatan 5 dan melanjutkan pelajarannya di Universiti Multimedia di Cyberjaya yang mana beliau mengikuti ijazah perniagaan kewangan.
Kerjaya
Mewarisi bidang masakan daripada bapanya Dato' Nik Ezar, Nik Michael Imran menunjukkan minat terhadap seni kulinari sejak berusia 9 tahun. Pada tahun terakhir pengajian, beliau menyertai MasterChef Malaysia musim pertama pada tahun 2011 yang mana beliau ialah salah seorang daripada 24 pesertanya. Selepas tamat rancangan itu, beliau ditawarkan mengacarakan rancangan masakan Hello Bro Tolong Masak yang bersiaran di Astro Ria. Antara rancangan kendaliannya ialah Remaja Ekstrem di TV9, Juadah Nik Michael, Tea Twist di Asian Food Network (AFN) dan Lunch With The Niks, rancangan memasak bapa dan anak di RTM dan beberapa yang lain. Beliau juga menjadi juri rancangan Kan Cheong Kitchen di 8TV.
Beliau bersama bapanya membuka restoran yang dinamakan PickNik yang beroperasi di Solaris Dutamas, Publika, KL yang mana beliau turut berkhidmat sebagai ketua cef. Selepas 4 tahun beroperasi, restoran ini ditutup pada 2016 dan Nik Michael mengambil keputusan untuk menguruskan katering keluarganya.
Inspirasi
Salah satu inspirasi terbesarnya dalam seni kulinari ialah bapanya, Dato' Nik Ezar Nik Bolia, yang merupakan seorang cef dan pemilik restoran. Dalam temubual bersama The Star Online, Nik Michael berkata: "Saya belajar semuanya daripada bapa. Latihan awal dalam bidang masakan datang daripada bapa dan pada hari yang mendatang, saya mendapat ilham untuk menjadi sepertinya dan belajar memasak seperti bapa".
Kehidupan peribadi
Beliau berkahwin dengan Siti Nadiah Shahril pada 24 November 2015 dan dikurniakan seorang anak, Nik Rumi Iman.
Filemografi
Filem
Tahun | Tajuk | Watak | Catatan |
---|---|---|---|
2022 | Seratus | Nizam | Filem pertama, penampilan khas |
Televisyen
Tahun | Tajuk | Stesen TV | Catatan |
---|---|---|---|
2011 | MasterChef Malaysia musim 1 | Astro Ria | Peserta |
2012 | Hello Bro! Tolong Masak | ||
Remaja Extreme | TV9 | ||
2013 | Tea Twist | Asian Food Channel | |
2014 | Kan Cheong Kitchen | 8TV | Juri |
2015 | Cooking for Love | Asian Food Channel | |
2016 | Lunch With The Niks | TV2 | |
2018 | Juadah Nik Michael | TV1 |
Anugerah dan pencalonan
Tahun | Anugerah | Kategori | Penerima/Karya tercalon | Keputusan | Ruj. |
---|---|---|---|---|---|
2016 | Anugerah Pilihan Online 2016 | Cef Selebriti Pilihan | Dirinya sendiri | Tercalon | |
Lelaki Tampan Pilihan Dnars | Tercalon |
Rujukan
Pautan luar
- Nik Michael Imran di Instagram