Neng Yatimah
Quick Facts
Biography
Yatimah binti Ahmad (17 Januari 1924 - 19 Mac 2016) atau lebih dikenali sebagai Neng Yatimah merupakan seorang seniwati filem etnik Melayu tahun 1950-an dan 1960-an yang terkenal. Beliau terkenal dengan peranan sebagai seorang pelakon air mata. Anak Neng Yatimah, Rosnah Jasni, turut mengikut jejak beliau dan terbabit dalam bidang seni menerusi filem Pendekar Bujang Lapok pada 1959 dan diberikan nama komersial Roseyatimah.
Kehidupan Awal
Dalam satu temuramah dengan sebuah akhbar Singapura, Neng Yatimah memberitahu bahawa tentang cita-cita asal beliau adalah sebagai seorang guru, tetapi ayahnya hanya membenarkan beliau bersekolah setakat darjah lima di Sekolah Perempuan Melayu Rochore, Singapura, lantas cita-citanya dipendam begitu saja.
Yatimah kemudiannya rapat dengan penyanyi Jasni Ahmad, tetapi tidak begitu disenangi oleh bapanya. Semasa perperangan Jepun, Yatimah nyaris menjadi mangsa kekejaman Jepun tetapi telah diselamatkan oleh Jasni Ahmad. Peristiwa dan keberanian yang ditunjukkan oleh Jasni melembutkan hati bapa Yatimah dan membenarkan Yatimah mendirikan rumahtangga ketika berusia 14 tahun.
Neng Yatimah mula terjun dalam bidang lakunan ketika berusia 19 tahun, dibabit dengan rasa kagumnya kepada lakonan primadona Siput Sarawak yang pada zamannya dianggap mempunyai pengaruh besar.
Penglibatan dan Kerjaya Seni
Pembabitan Yatimah Ahmad kedalam bidang seni berlaku secara tidak sengaja. Ketika itu, Yatimah berkunjung ke Studio Malay Film Production untuk melihat Siput Sarawak berlakon. Kehadirannya disedari A. R. Tompel yang kemudian mempelawanya untuk berlakon. Selepas diizinkan suaminya, beliau menerima pelawaan menjalani uji bakat di depan pengarah L. Krishnan.
Mak Neng berjaya melepasi ujian itu lalu ditawarkan berlakon dalam filem Takdir Ilahi dengan memegang watak utama. Sebelum berlakon, beliau meluahkan perasaannya bahawa dirinya tidak secantik pelakon lain.
Jawapan pengarah L. Krishnan Cantik tak apa, tak cantik pun tak apa. Tapi manis mesti ada telah didengari oleh P. Ramlee dan digunakan sebagai dialog dalam salah satu filem arahannya. Walaupun nama sebenarnya adalah Yatimah Ahmad, nama itu tenggelam apabila seniman agung P. Ramlee memberikan nama Neng Yatimah kepadanya bagi menggantikan gelaran buntat sebelumnya.
Mogok
Dalam buku "P. Ramlee Erti Yang Sakti", diceritakan Neng Yatimah pada 29 Disember 1959 menerima notis untuk menamatkan perkhidmatannya dari Shaw's MFP Studio secara mengejut. Ini turut dialami oleh beberapa orang pelakon lain seperti S. Kadarisman, Musalmah dan S. Hassan Sahab. Oleh kerana tidak berpuas hati, dia telah mengemukakan perkara ini kepada pihak PERSAMA dan hal itu berpanjangan sehingga berlaku mogok di studio itu pada tahun 1960. Sebagai Presiden Persatuan Artis Se-Malaya (PERSAMA), P. Ramlee meminta bantuan Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj campur tangan, di mana almarhum Tunku menghantar wakilnya ke studio itu untuk berbincang dengan pengurusan studio itu dan P. Ramlee sendiri. Perbincangan itu berjaya dan semua artis yang dibuang kerja itu diambil semula.
Tidak lama selepas itu, Neng Yatimah berhenti sendiri dari Shaw's MFP Studio dan berhijrah ke Cathay Keris. Manakala Musalmah menyertai Studio Merdeka yang baru ditubuhkan di Kuala Lumpur, sebelum bersara terus dari dunia seni.
Filem Lakonan
Diantara filem lakonan Yatimah Ahmad adalah:-
- Takdir Ilahi
- Nilam (1949)
- Patah Hati
- Rachun Dunia
- Ibu
- Bapa Saya
- Tas Tangan Wanita (1952)
- Jiwa Lara (1952)
- Gadis Peladang
- Siapa Salah
- Kasih Sayang
- Masyarakat Pincang
- Batu Belah Batu Bertangkup * Filem terakhir Neng di Jalan Ampas
- Roh Membela (1955)
- Jiran Sekampung * Cathay Keris
- Lela Satria * Cathay Keris
- Laila Majnun * Cathay Keris
- Air Mata Duyung * Cathay Keris
- Seri Mersing * Cathay Keris
- Mama Oh Mama * Filem terakhir lakonannya
Meninggal dunia
Neng Yatimah pulang ke rahmatullah pada 19 Mac 2016 jam 10.30 pagi, dan jenazahnya dikebumikan di Pusara Abadi, Jalan Bahar, Singapura.
Pencapaian
- Pingat Ahli Mangku Negara (AMN)
- Anugerah Pelakon Veteran di Festival Filem Malaysia ke-13 (1997)
Sampingan
- Neng Yatimah pernah merakamkan rekod lagu Asmara Terkenang (Pathe PTH 29) dangan menggunakan nama Neng Buntat.
- Sebagai ahli SENIMAN Neng Yatimah juga menggunakan nama Buntat binte Ahmad (ahli no. 1935).