Muslifah Zulkifli
Quick Facts
Biography
Muslifah Zulkifli (28 Disember 1985 – 6 November 2021) merupakan seorang atlet menembak Malaysia. Beliau merupakan pemenang pingat gangsa dalam acara 50m Rifle Prone berpasukan Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.
Kerjaya sukan
Muslifah pernah meraih pingat gangsa di temasya Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan dalam acara rifle 50 meter meniarap berpasukan Wanita bersama dua lagi penembak negara ketika itu, Nur Suryani Mohamed Taibi dan Nur Ayuni Farhana Abdul Halim.
Beliau juga pernah mewakili negara di Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland dalam acara 50 meter (m) Rifle Meniarap Wanita (W) dan 50m Rifle (Tiga Posisi) pada temasya sukan berkenaan. Selain itu, beliau juga merupakan salah seorang atlet yang terlibat dalam Program Podium selama 2 tahun, dari 2015 sehingga 2017.
Muslifah pernah menyandang jawatan jurulatih Wilayah Persekutuan pada 2020 bagi menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) dan sebelum ini bertugas dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Pencapaian
Pada Mac 2013, Muslifah bersama atlet perahu layar Khairulnizam Mohd Afendy dinobat sebagai Olahragawan dan Olahragawati UiTM 2012.
Kematian
Muslifah meninggal dunia pada 6 November 2021 pada jam 2.17 pagi, selepas hampir 50 hari dirawat di Hospital Gleneagles Pulau Pinang akibat jangkitan kuman dalam paru-paru. Beliau sebelum ini pernah dimasukkan ke hospital sama pada 19 September selepas disahkan positif COVID-19.
Bayi dalam kandungan Muslifah yang juga anak sulungya selepas beberapa kali mengalami keguguran turut meninggal dunia pada usia kandungan enam bulan ketika beliau menerima rawatan di pusat rawatan rapi (ICU) hospital.
Jenazah beliau dibawa pulang ke rumahnya di Jelutong sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak pada jam 1.45 tengah hari. Beliau meninggalkan suami, Muhammad Syamim Syaharuddin.