Muhammad Said bin Haji Jamaluddin
Quick Facts
Biography
Muhammad Said bin Haji Jamaluddin (1875 - 1926) atau lebih dikenali sebagai Syeikh Muhammad Said Linggi merupakan salah seorang tokoh ulama di Nusantara yang terkemuka.
Latar Belakang
Sheikh Haji Muhammad Said bin Haji Jamaluddin Al-Linggi adalah seorang ulama yang terkenal di Negeri Sembilan pada penghujung kurun ke-19 dan awal kurun ke-20. Beliau dilahirkan pada tahun 1874 di Makkah, Arab Saudi. Ibunya, Hajah Safiah binti Haji Muhammad Saleh al-Fatani merupakan seorang yang berasal dari Pattani, Selatan Thai manakala bapanya ialah Sheikh Haji Jamaluddin Al Linggi yang berasal dari Negeri Sembilan.
Kehidupan
Beliau pulang semula ke Tanah Melayu ketika berumur 30 tahun dan mengambil keputusan menetap di Kampung Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan. Mulai itu dia membuka kuliah mengajar agama secara pondok di samping pergi memberi ceramah dan kuliah di segenap ceruk rantau. Selain mengajar agama, Sheikh Muhammad Said juga mengarang kitab-kitab agama. Beliau adalah seorang guru (amat disayangi oleh anak-anak muridnya), pengamal dan pengasas Tarekat Ahmadiah Idrisiyah di Asia Tenggara.
Ulama Sufi
Beliau merupakan pengembang Tarekat Ahmadiah, bukan sahaja di Negeri Sembilan, malah ke seluruh Tanah Melayu.
Warisan Ilmu
Penerusan ilmu beliau terus sambung-menyambung dan kalau diibaratkan kepada sungai, ia mengalir terus. Beberapa orang anak beliau serta cucunya telah mewarisi ilmu yang dimilikinya.
Boleh dikatakan semua anak beliau muncul sebagai ulama dan menjadi guru. Antara anak beliau yang turut menjejaki langkahnya ialah Tuan Sheikh Abdullah, Tuan Sheikh Ahmad, Tuan Sheikh Mansor, Tuan Sheikh Muhammad Nur, Tuan Sheikh Mahdi, Tuan Sheikh Ibrahim dan Tuan Sheikh Rashid. Kesemuanya telah meninggal dunia.
Antara dua cucu beliau yang terkehadapan adalah Dato Sheikh Muhammad Murtadza bin Sheikh Haji Ahmad, Mantan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan yang kini merupakan Pengerusi Jilsah Turuq Sufiyyah Negeri Sembilan dan Penasihat Sekolah Rendah Integrasi Islam Darul Ulum (SRIIDU), Rasah, dan Tuan Sheikh Mohamad Muhsin bin Sheikh Haji Ahmad, Mudir Maahad Tahfiz Al-Sa'idiyyah.
Kematian
Beliau meninggal dunia pada tahun 1926 ketika berusia 52 tahun dan dikebumikan di Seremban. Kawasan perkuburan itu dinamakan Makam Tuan Haji Said (sebahagian besar tanah kepunyaannya yang diwakafkan untuk dijadikan kawasan tanah perkuburan).
Rujukan
- TOKOH-TOKOH ULAMA SEMENANJUNG MELAYU (1), Ismail Che Daud, Percetakan ZulRahim Sdn. Bhd., ISBN 983-2391-00-8