Muhammad Khalil Abdul Hadi
Quick Facts
Biography
Yang Berhormat Ustaz Muhammad Khalil bin Abdul Hadi ialah seorang ahli politik Malaysia berbangsa Melayu daripada Parti Islam Se-Malaysia. Beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Terengganu. Di peringkat parti, beliau merupakan Ketua Pemuda PAS Malaysia. Beliau juga kini merupakan Ketua Lujnah Al-Quds, Kesatuan Ulamak Islam Sedunia cawangan Malaysia.
Latar Belakang
Beliau dilahirkan pada 20 Mac 1977 di Marang, Terengganu. Beliau merupakan anak sulung daripada 14 orang beradik. Ayah beliau merupakan Presiden PAS ketujuh, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan ibu beliau bernama To' Puan Seri Hajah Zainab binti Awang Ngah.
Pendidikan
Beliau bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Rusila, Terengganu. Di peringkat pengajian menengah, beliau melanjutkan pengajian thanawi Al-Azhar di Karachi, Pakistan. Beliau merupakan lulusan Universiti Al-Iman, Yaman sebagai Sarjana Muda dalam Pengajian Islam dan Syariah. Beliau juga telah menamatkan pengajian Sarjana Pengajian Islam dari Universiti Portsmouth, United Kingdom.
Politik
Beliau terlibat dalam politik sejak 2006 sebaik sahaja menamatkan pengajian dari Universiti Al-Iman, Yaman. Antara jawatan yang pernah disandang beliau dalam PAS ialah Ketua Pemuda PAS Cawangan Rusila, Ketua Pemuda PAS DUN Rhu Rendang, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang, Ketua Penerangan PAS Kawasan Marang, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (2013-2017) dan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (2017-2019).
Dipilih sebagai Ketua Pemuda PAS Malaysia
Muhammad Khalil Abdul Hadi telah menang jawatan Ketua Pemuda parti itu tanpa bertanding dalam Muktamar Tahunan PAS yang berlangsung di Kedah. Beliau mengambil alih jawatan itu daripada penyandang sebelumnya, Ustaz Nik Abduh Nik Aziz. Keputusan pemilihan parti itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Datuk Wan Mutalib Embong pada Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia ke-58.
Lain-lain
Beliau juga merupakan pensyarah di Kolej Universiti Darul Quran Islamiah, sebuah pusat pengajian Islam yang ditubuhkan oleh PAS.