Mohamad Taufek Abd Ghani
Quick Facts
Biography
Yang Berbahagia Dato' Haji Mohamad Taufek Abd Ghani (Jawi: محمد توفيق عبد الغني , lahir 30 September 1968) adalah ahli politik Malaysia berbangsa Melayu dari Parti Amanah Negara. Beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Negeri Sembilan bertanding di atas tiket Amanah. Dalam kerajaan Negeri Sembilan, beliau dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan. Di peringkat parti, beliau merupakan Timbalan Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan
Kehidupan awal
Lahir pada 30 September 1968. Berasal dari Kampung Pulau Bintongan, Rembau, Negeri Sembilan.
Keluarga
Beliau berkahwin dengan Mahani Musa (seorang guru) dan dikurniakan 4 orang anak. Anak sulung dan anak kedua beliau merupakan pasangan kembar, Muhammad Syukri (lahir 1997) dan Muhammad Sobri (lahir 1997).
Pendidikan
Mula belajar di Sekolah Rendah kebangsaan King George V, Seremban (1975-1980) kemudian Sekolah Menengah King George V, Seremban (1981 - 1983). Beliau kemudiannya berpindah ke Maktab Rendah Sains MARA Seremban dan belajar selama dua tahun (1984 - 1985). Beliau menyambung pelajaran ke peringkat matrikulasi di Maktab Matrikulasi UKM, Kulim selama dua tahun (1986 - 1987) sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia sehingga tahun 1992.
Penglibatan dalam Politik
Beliau cukup aktif dalam Politik semenjak bergelar mahasiswa lagi. Beliau pernah bertugas sebagai Ketua Jawatankuasa (EXCO) Tugas-tugas Khas, Jabatan Kebajikan Siswa/i (JAKSA) Kamsis Ungku Omar (sekarang dikenali sebagai Kolej Ungku Omar (1990-1991). Beliau kemudiannya menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Pada tahun 2003, beliau telah dilantik menjadi Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan sehingga tahun 2005. Seterusnya, pada tahun 2005, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan, sekaligus sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Negeri Sembilan. Beliau berkhidmat dalam kedua-dua jawatan tersebut sehingga 2007.
Pada tahun 2007 sehingga 2009, beliau telah terpilih sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan. Ekoran daripada itu, beliau turut diberi taklifan (tanggungjawab) sebagai Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Negeri Sembilan. Beliau turut menjawat sebagai Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Pusat, merangkap EXCO Dewan Pemuda PAS Pusat.
Pada tahun 2009, beliau terus menaiki anak tangga perubahan selepas dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan. Selain itu, beliau berkhidmat juga sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat setelah dilantik oleh Pimpinan PAS Pusat selepas Pemilihan PAS bagi sesi 2009-2011.
Di peringkat akar umbi, beliau telah dilantik sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Rembau, Negeri Sembilan pada 2008.
Pada 12 Jun 2011, beliau telah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan yang baharu. Beliau mendapat maklumat perlantikan sebagai Pesuruhjaya Negeri Sembilan yang baru bagi menggantikan Zulkefly Mohamad Omar ketika berada di atas kapal untuk menyeberangi Selat Bosporus di Istanbul, semasa menyertai delegasi Malaysia ke Turki bagi meninjau perkembangan pilihanraya Turki.
Pengalaman Pekerjaan
Beliau pernah bertugas sebagai Jurutera Pengeluaran di Hualon Corporation (M) Sdn Bhd yang beroperasi di Melaka pada 1992 hingga 1995. Selain itu, beliau turut pernah bertugas sebagai Jurutera Kanan di Samsung Corning (M) Sdn Bhd yang beroperasi di Seremban, Negeri Sembilan.
Dalam tempoh bertugas, beliau pernah menjalani latihan bekerja di Korea (1996 & 2004) dan pernah bertugas di Nepal, Korea dan Bangladesh sepanjang 2004-2006.
Penglibatan dalam Masyarakat
Badan Bukan Kerajaan
Beliau aktif dalam aktiviti kemasyarakatan. Beliau pernah menjadi Timbalan Pengerusi Surau An-Nur, Kampung Pulau Bintongan, Rembau pada 2001-2002. Pada tahun 2006, beliau berkhidmat sebagai Ahli Jawatankuasa Madrasah Tuan Haji Abdul Rahman Ali (Dikenali juga sebagai Madarasah Kampung Selemak, Rembau) selama dua tahun (2007).
Antara jawatan lain yang disandang oleh beliau ialah Pengerusi Kelab Angkasa Malaysia Negeri Sembilan (2007-2008), Ahli Jawatankuasa Yayasan Amal Malaysia (2006-2008), dan Ahli Jawatankuasa Teras Pengupayaan Melayu (2005-2008).
Pilihan raya
Tahun | Kawasan | Individu | Undi | Lawan | Undi | Peratusan Mengundi | Majoriti |
---|---|---|---|---|---|---|---|
2008 | DUN Paroi | Mohamad Taufek Abd Ghani (PAS) | 9,423 | Zaharudin Mohd Shariff (BN-UMNO) | 8,316 | 78.39% | 1,107 |
2013 | DUN Paroi | Mohamad Taufek Abd Ghani (PAS) | 12,712 | Mohd Ghazali Abd Wahid (BN-UMNO) | 14,896 | 87.90% | 2,184 |
2018 | DUN Paroi | Mohamad Taufek Abd Ghani (Amanah) | 16,038 | Mohd Ghazali Abd Wahid (BN-UMNO) | 11,197 | 4,841 | |
Masita Mohamed Ali (PAS) | 3,499 |
Anugerah
- Negeri Sembilan
- Darjah Datuk Paduka Negeri Sembilan (DPNS) - Dato' (2020)
Rujukan
Pautan luar
Penyandang Terdahulu | ADUN Paroi 2004 hingga 2008 – Kini | Penyandang Kemudian |
Bibi Sharliza Mohd Khalid | Mohd Ghazali Abd Wahid |
Penyandang Terdahulu | Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan 2007 hingga 2011 – 2011 hingga 2013 | Penyandang Kemudian |
Zulkefly Mohamad Omar | Penyandang |