Haniza Mohamed Talha
Quick Facts
Biography
Haniza Mohamed Talha adalah seorang ahli politik di Selangor, Malaysia. Beliau telah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor bagi kawasan Taman Medan, Petaling Jaya bermula dari tahun 2008 setelah memenangi DUN Taman Medan dalam Pilihan Raya Umum ke-12. Pada Pilihan Raya Umum ke-13, beliau sekali lagi memenangi DUN Taman Medan sekaligus menjadi wakil rakyat kawasan itu bagi penggal kedua berturut-turut.
Latar Belakang
Haniza dilahirkan di Batu Gajah, Perak. Beliau mendapat pendidikan awal di Perak dan Pulau Pinang, seterusnya melanjutkan pelajaran dalam jurusan senibina di University of Sheffield, United Kingdom.
Beliau pernah bertugas sebagai penterjemah dan penulis di laman web Malaysia Today.
Pada Pilihan Raya Umum ke-12 tahun 2008 beliau telah dipilih untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi kawasan Taman Medan, Selangor, sehingga tahun 2013. Beliau juga dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor pada 2008, lalu menjadi wanita pertama memegang jawatan itu.
Haniza juga pernah menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat). Di dalam Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Haniza merupakan Ketua Wanita Keadilan Negeri Selangor.
Beliau mendirikan rumahtangga dengan Shahrudin Omar dan dikurniakan tujuh orang anak.
Tokoh Masyarakat
Sebagai wakil rakyat Haniza amat disegani dengan keprihatinannya menangani isu-isu masyarakat setempat di Taman Medan. Beliau amat prihatin dengan kebajikan warga emas dengan melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan bersama mereka, termasuk Skim Mesra Usia Emas dan program Jom Shopping.
Golongan OKU turut disantuni beliau melalui pemberian kad kesihatan percuma dan penyediaan pelbagai kemudahan infrastruktur seperti 'ramp' untuk kerusi roda, dan kawasan parkir khas di Pusat Khidmat Rakyat Taman Medan.
Di dalam sektor pendidikan, beliau banyak mengusahakan bantuan kepada sekolah-sekolah termasuk SJK(C) Chen Moh, SJK(C) Yuk Chun, SRA Ibnu Rushd dan KAFA Integrasi.
Untuk menjaga kebajikan anak muda, Haniza berjaya mewujudkan Dataran Anak Muda untuk kemudahan sukan dan rekreasi belia. 'Homework Room' dibina untuk membantu anak-anak penduduk melakukan tugasan akademik sambil dipantau oleh petugas-petugas sukarelawan. Haniza juga mengambil berat tentang pembinaan remaja yang seimbang, dengan melaksanakan Program Pelajar Progresif Taman Medan dan Program Generasi Idaman Selangor (GeMS).
Timbalan Speaker Dewan Negeri
Pelantikan Haniza sebagai Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor pada tahun 2008 telah mencatat sejarah di negara Malaysia sebagai wanita pertama yang menjawat jawatan itu di mana-mana negeri. Pengumuman mengenai pelantikan itu dibuat oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 20 April 2008.
Pencapaian Haniza ini disebut sebagai menjadi kebanggaan golongan wanita terutamanya di Taman Medan, samaada daripada partinya sendiri mahupun parti Barisan Nasional (BN).
Pengurangan Tol NPE PJS2
Haniza menjuarai desakan rakyat Taman Medan untuk menghapuskan tol di Lebuhraya Baru Pantai (NPE) di PJS2. Tol ini yang mengenakan bayaran sebanyak RM1.60 dikatakan membebankan penduduk yang menjadikan NPE sebagai laluan utama. Tol itu juga dikatakan telah menyebabkan kesesakan dan kemalangan di kawasan tersebut. Melalui sidang media yang dibuat di pejabatnya pada 7 Mei 2008, Haniza telah mendesak kerajaan pusat meneliti isu ini.
Desakan ini turut disokong oleh penduduk setempat (termasuk mereka daripada parti UMNO) yang mengadakan tunjuk perasaan pada 7 Februari 2009.
Usaha-usaha desakan ini membuahkan hasil pada 14 Februari 2009 apabila kerajaan pusat bersetuju memansuhkan tol di jalan berkenaan, di lorong yang menghala ke Kuala Lumpur. Walaubagaimanapun tol di lorong menghala Subang Jaya dan Kelana Jaya dikekalkan.
Haniza meneruskan usahanya melobi kerajaan pusat untuk memansuhkan tol di kedua-dua lorong kerana menurutnya, masalah kesesakan dan keselamatan tidak selesai dengan penutupan hanya sebuah lorong.
Akhirnya pada 17 Februari 2001 kerajaan pusat mengumumkan pengurangan tol di lebuhraya itu yang menghala ke Subang Jaya dan Kelana Jaya, daripada RM1.60 kepada RM1.00.
NPE adalah sepanjang 19.5 kilometer, dibuka sejak 30 April 2004. Ia bernilai RM1.2 bilion dan dikendalikan oleh syarikat konsesi New Pantai Express Way Sdn Bhd.
Kemenangan Penggal Kedua
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 bertarikh 5 Mei 2013, Haniza mempertahankan DUN Taman Medan melawan empat orang calon lain - seorang daripada parti Barisan Nasional (BN), seorang daripada parti KITA dan dua lagi sebagai calon bebas. Keputusannya Haniza telah memenangi pertandingan ini dengan meraih sebanyak 20,478 undi (bersamaan 3,731 undi majoriti), menunjukkan beliau telah berjaya memenangi kepercayaan penduduk Taman Medan yang diwakilinya pada penggal sebelumnya.