Dato Sri Abang. Hj. Abd. Rahman Zohari B. Tun Abang. Hj. Openg
Quick Facts
Biography
Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg (lahir 4 Ogos 1950) merupakan Ketua Menteri Sarawak yang keenam, ahli politik Melayu dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Sarawak, Malaysia. Beliau juga merupakan ADUN N.8 Satok selama sembilan penggal berturut-turut iaitu pada tahun 1981, 1983, 1991, 1996, 2001, 2006, 2011 dan 2016. Beliau juga ahli politik yang paling senior di dalam PBB dan di negeri Sarawak.
Latar belakang
Abang Johari dilahirkan di Limbang, Sarawak pada 4 Ogos 1950. Beliau merupakan anak bongsu kepada Tun Abang Haji Openg Abang Shapie dan Toh Puan Dayang Hajjah Masniah Abdulrahman. Bapanya dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang pertama dari tahun 1963 hingga 1969.
Beliau berkahwin dengan Datin Amar Jumaani Tuanku Bujang selama 38 tahun dan dikurniakan seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan iaitu Abang Abdillah Izzarim, 37 dan Dayang Norjihan, 35.
Pendidikan
Abang Johari mendapat pendidikan rendah dan menengah di Sekolah Kebangsaan Merpati Jepang dan Sekolah Menengah Kebangsaan St. Joseph, Kuching dan kemudian belajar di Universiti Brunnel, United Kingdom. Beliau mendapat Masters dalam Pengurusan Perniagaan dari Universiti Brunnel, United Kingdom.
Sebelum terbabit dalam arena politik
Sebelum tertabit dalam arena politik, beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Eksekutif Penerbangan Malaysia (MAS) di Bahagian Perhubungan Korporat.
Politik dan jawatan yang disandang
Beliau mula aktif dalam politik pada tahun 1977. Semasa menjadi Menteri Perindustrian dan Insfrastruktur Negeri, kadar pelaburan di Sarawak meningkat kepada lebih 10 bilion setahun. Anak bongsu kepada Tun Abang Haji Openg, atau Sri Abang, bukan sahaja dikagumi oleh kebanyakan masyarakat Melayu, malahan amat disenangi oleh para pelabur asing dan tempatan.
Selepas pilihan raya negeri yang ke-8 pada tahun 2001, beliau sekali lagi diberi kepercayaan sebagai Menteri Pelancongan Negeri sehingga rombakan kabinet negeri besar-besaran pada tahun 2004 yang memaksa beliau untuk bertukar ke portfolio Perumahan Sarawak. Tidak seperti ahli Dewan Undangan Negeri yang lain di Sarawak beliau amat gigih dalam mempertahankan nasib pengundi-pengundi beliau di N.6 Satok.
Pada Pilihan raya edisi kesembilan 2006, beliau yang mewakili Parti Pesaka Bumiputra Bersatu di atas tiket Barisan Nasional sekali lagi mempertahankan Kerusi N8 Satok dengan majoriti 2798 undi mengalahkan lawannya Mohamad Jolhi daripada Parti Keadilan Rakyat.
Abang Johari, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Satok yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam politik, merupakan seorang daripada tiga timbalan ketua menteri di bawah pentadbiran Allahyarham Tan Sri Datuk Amar Hj Adenan Satem, selain Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri Dr James Jemut Masing.
Beliau kini menyandang jawatan Menteri Perumahan dan Urbanisasi, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS).
Ketua Menteri
Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) telah sebulat suara untuk menyokong Abang Johari sebagai Ketua Menteri Sarawak keenam bagi menggantikan Tan Sri Datuk Amar Hj Adenan Satem yang telah pulang ke rahmatullah pada 11 Januari 2017. Beliau mengangkat sumpah jawatannya itu di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Astana, Sarawak.