Badhrulhisham Abdul Aziz
Quick Facts
Biography
Prof. Dato' Ts. Ir. Dr. Haji Badhrulhisham bin Abdul Aziz (lahir pada 1 Disember 1963) ialah seorang ahli politik Malaysia daripada Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA). Di peringkat parti, beliau merupakan Presiden BERJASA bagi sesi 2019 sehingga 2021.
Latar belakang dan pendidikan
Beliau dilahirkan di Sungai Balang, Muar, Johor pada 1 Disember 1963.
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Inggeris, Tangkak dan Sekolah Menengah Inggeris, Kluang, Johor. Beliau melengkapkan Sarjana Muda (B.Sc) Kejuruteraan Kimia di Colorado State Univ., Amerika Syarikat [dengan tajaan JPA] pada tahun 1986, Ijazah Sarjana (M.Sc) Kejuruteraan Kimia di University College of Swansea, Wales, United Kingdom [dengan tajaan UTM] pada tahun 1988 dan Ijazah Kedoktoran (Dr. Eng.) Kejuruteraan Kimia di Universiti Kyoto, Jepun [dengan tajaan Kerajaan Jepun] pada tahun 1994.
Karier awal
Akademik
Badhrulhisham telah terlibat selama 23 tahun dalam dunia akademik di universiti awam dan swasta Malaysia. Beliau pernah menjadi Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Universiti Malaysia Pahang (2010-2013) dan masih merupakan Profesor di Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli (FKKSA) Universiti Malaysia Pahang. Beliau pernah menjadi editor bagi Ensiklopedia Kejuruteraan Kimia yang diterbitkan untuk julung kali dalam bahasa Melayu oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. Beliau juga pernah dilantik sebagai pemeriksa luar untuk tesis-tesis pascasiswazah, penilai luar untuk kenaikan pangkat ke Profesor Madya dan Profesor di universiti-universiti tempatan, dan menjadi panel penasihat beberapa persidangan/seminar kebangsaan dan antarabangsa.
Industri
Beliau juga terlibat selama 10 tahun bekerja di industri kimia (syarikat multinasional dari Amerika dan England, tempatan); menjawat beberapa jawatan dalam berbagai-bagai bahagian, antaranya sebagai Jurutera Kanan Proses, Pengurus Kualiti, Pengurus Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (Rantau Asia Pasifik) dan Pengurus Besar (Operasi). Badhrulhisham pernah dilantik sebagai anggota Jawatankuasa Bioteknologi Negeri Pahang yang bertanggungjawab merangka Pelan Induk Bioteknologi untuk negeri Pahang, anggota Jawatankuasa Teknologi Hijau Negeri Kelantan yang bertanggungjawab merangka Pelan Induk Teknologi Hijau Kelantan, anggota Jawatankuasa Kajian Halatuju Pengajian Kejuruteraan Malaysia peringkat nasional, ahli Jawatankuasa Kerja Penubuhan Lembaga Pakar Teknologi Malaysia (MBOT), ahli Jawatankuasa Nadir Bumi, Akademi Sains Malaysia. ahli Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC) Mengenai Isu Projek Lynas, Parlimen Malaysia, Penolong Persuruhjaya (Kehormat), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Profesor Pelawat, Program Teknologi Kejuruteraan Kimia, UTHM dan Felo, Akademi Sains Malaysia.
Organisasi masyarakat
Beliau pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Interdisciplinary Research and International Strategy Institute (IRIS Institute) dan Ketua Biro Perancangan Strategik & Sumber Manusia, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) 2017-2019
Karier politik
Badhrulhisham pada awal penglibatannya dalam politik, telah menyertai Parti Islam Se-Malaysia dan pernah menyertai kepimpinan Pemuda PAS di Telok Kemang (sekarang Port Dickson) pada 2001. Beliau menyertai Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia sebelum Pilihan Raya Umum Malaysia 2013 dan menjadi perancang utama penyertaan parti itu dalam pilihan raya tersebut. Badhrulhisham kemudiannya dilantik menjadi Presiden BERJASA bagi sesi 2019-2020 dalam Mesyuarat Agung Tahunan BERJASA yang diadakan di Hotel Putra Kuala Lumpur
Keluarga
Beliau telah mendirikan rumah tangga dengan Datin Hajah Noorzaimen A.Kadir pada tahun 1983 dan dikurniakan 7 orang cahaya mata.
Pilihan raya
Tahun | Kawasan | Individu | Undian | Lawan | Undian | Peratus Mengundi | Majoriti |
---|---|---|---|---|---|---|---|
2019 | Parlimen Tanjung Piai | Badhrulhisham Abdul Aziz (BERJASA) | 850 | Wendy Subramaniam (Gerakan) | 1,707 | 74.43% | 15,086 |
Dato' Sri Dr. Wee Jeck Seng (BN-MCA) | 25,466 | ||||||
Dr. Ang Chuan Lock (Bebas) | 380 | ||||||
Haji Karmaine Sardini (PH-PPBM) | 10,380 | ||||||
Faridah Aryani Abd Ghaffar | 32 |
Anugerah
- Pahang
- Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) - Dato' (2012)
Lihat Juga
- Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia
- Ikatan Muslimin Malaysia