Mustapha Kamal Abu Bakar

The basics

Quick Facts

Death25 July 2022
The details

Biography

Tan Sri Datuk Dr. Haji Mustapha Kamal Abu Bakar (18 Mac 1949 – 25 Julai 2022) merupakan seorang ahli perniagaan dan usahawan hartanah Malaysia. Beliau diberi jolokan "Raja Perumahan Mampu Milik" kerana bertanggungjawab membangunkan lebih 12,000 rumah kos rendah di Selangor dan Perak. Beliau ialah pengasas Kumpulan EMKAY, syarikat hartanah yang ditubuhkan pada 1983.

Kehidupan awal

Mustapha Kamal dilahirkan pada 18 Mac 1949 di Kampung Changkat, Pusing, Perak. Beliau merupakan siswazah Universiti Malaya (UM) dalam jurusan Sejarah.

Kerjaya

Di awal kerjayanya, beliau pernah berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Petaling antara 1971 hingga 1976.

Mustapha juga pernah memegang jawatan Timbalan Pesuruhjaya Jabatan Tanah dan Galian, Selangor pada 1978 sebelum menyertai sektor swasta dalam bidang hartanah yang mana beliau telah dilantik sebagai Pengarah Urusan Shah Alam Properties Sdn. Bhd.

Pada peringkat kerjayanya, beliau mula memperkukuhkan pelbagai kemahiran, pengetahuan, pengalaman dan kecekapan yang diperlukan dalam pembangunan hartanah sehingga beliau mempunyai keyakinan sepenuhnya untuk memulakan usaha perniagaan sendiri. Ini telah mendorong beliau menubuhkan Kumpulan EMKAY pada tahun 1983, yang menawarkan rumah mampu milik. MK Land Holdings Berhad yang diasaskan bersamanya pada 1978, dahulu dikenali sebagai Perfect Food Industries Sdn. Bhd. yang menjalankan perniagaan makanan. Syarikat hartanah miliknya itu ditukar nama kepada MK Land Holdings Berhad selepas disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia) pada Ogos 1999.

Mustapha Kamal juga sinonim dengan kejayaan Cyberjaya yang dibangunkan menjadi sebuah bandar pintar apabila pelbagai syarikat multinasional terkemuka dunia beroperasi di sana. Beliau merupakan antara individu yang merintis pembangunan Cyberjaya yang sebelum ini ialah sebuah perkampungan dikenali sebagai Kampung Air Terentang, sebelum berubah sepenuhnya sehingga diberi jolokan 'Lembah Silikon Malaysia'.

Antara jawatan lain yang pernah disandangnya ialah Pengarah South-South Corporation Berhad (MASSCORP) ahli jawatankuasa Eksekutif Persatuan Selatan-Selatan Malaysia (MASSA) dan Penyelaras Negara bagi Afrika.

Kehidupan peribadi

Mustapha Kamal berkahwin dengan Wan Nong Wan Ibrahim dan dikurniakan 4 anak – Felina, Fazwirrna, Farah Mahami dan Ahmad Khalif. Salah seorang anaknya, Felina merupakan Pengarah Eksekutif di MK Land Holdings Berhad.

Kematian

Beliau meninggal dunia pada Isnin, 25 Julai 2022 jam 7:45 pagi akibat sakit tua di Institut Jantung Negara (IJN) pada usia 73 tahun. Jenazah beliau dimandi dan dikafankan di kediamannya pada jam 2 petang sejurus selepas solat Zuhur di Jalan Petaling Jaya Utama, Damansara Perdana dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada jam 3 petang hari yang sama.

Legasi

Kisah kejayaan Mustapha Kamal diabadikan di Galeri EMKAY yang dibuka pada 2013 dan terletak di Menara Mustapha Kamal di PJ Trade Centre, Damansara Perdana. Galeri yang berkeluasan 284.6 meter persegi ini tampil dengan seni reka sofistikated yang menyingkap sejarah di sebalik kisah hidup beliau yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara.

Anugerah

Mustapha Kamal telah menerima pelbagai anugerah sebagai penghargaan terhadap sumbangannya sepanjang kerjayanya. Antaranya ialah Anugerah Usahawan Cemerlang Selangor pada tahun 1995 oleh Dewan Perniagaan Melayu Selangor; FIABCI Property Man of The Year Award 1997 serta Anugerah Personaliti Cemerlang Industri Pembangunan 2001 daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia.

Beliau juga telah menerima Anugerah Felo DPMMKL 2002 daripada D.Y.M.M. Yang Di-Pertuan Agong dan Anugerah Khas Tokoh Maal Hijrah 2003 daripada Raja Muda Perak. Beliau juga telah dicalonkan untuk menerima Ernst & Young Entrepreneur Award 2002 dalam Kategori 'Master Enterpreneur'.

Beliau ialah penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pembangunan Hartanah Lestari) daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Ijazah Kehormat Doktor Perniagaan dan Keusahawanan daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Rujukan

Pautan luar

The contents of this page are sourced from Wikipedia article on 24 Mar 2024. The contents are available under the CC BY-SA 4.0 license.